Akibat Guris Hati Ibu

image1

 

 

 

 

 

Di kalangan kaum Muslimin Madinah, ada seorang lelaki yang sangat tekun beribadah dan gemar bersedekah. Namanya Alqamah. Dia disenangi kerana perangai serta tingkah lakunya yang mulia. Dia suka menolong orang-orang miskin dan mereka yang perlukan pertolongan. Alqamah mempunyai seorang ibu yang sudah tua. Dia tidak pernah lalai berbakti kepada ibunya.

Suatu hari, ibu Alqamah datang ke rumah anaknya. Dia membawa sedikit makanan yang dimasaknya sendiri untuk diberikan kepada Alqamah. Namun semasa menjamah makanan Alqamah telah mendahulukan masakan isterinya dan mengenepikan makanan yang dibawa oleh si ibu. Spontan tindakan Alqamah itu menyebabkan hati ibunya terguris. Ia meninggalkan rasa pedih yang berpanjangan di dalam hati si ibu.

Beberapa lama berlalu, sampai masanya Alqamah berhadapan dengan kematian. Dia terbaring lesu menghadapi sakaratul maut. Tetapi malangnya Alqamah tidak dapat melafazkan dua kalimah syahadah, biarpun telah diajar berkali-kali. Sekiranya terus demikian, Alqamah akan mati tanpa sempat mengucap dua kalimah syahadah. Ditakuti akan mati dalam keadaan suul khatimah (kesudahan yang buruk).

Akhirnya perkara itu diadukan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah menyuruh Sahabat memanggil ibu Alqamah. Apabila ditanya tentang Alqamah, si ibu pun menceritakan kebaikan-kebaikan yang banyak dikerjakan oleh anaknya. Namun cerita begitu tidak menarik minat Rasulullah. Baginda mendesak supaya berterus-terang. Hinggalah si ibu pun meluahkan kepedihan hati yang ditanggungnya, gara-gara sikap Alqamah yang melebihkan isterinya.

Rasulullah s.a.w mengancam hendak membakar jasad Alqamah. Supaya dengan itu dapat memuaskan hati ibu Alqamah yang tersinggung sehinggalah dia berasa redha kepada anaknya. Bila ibu Alqamah sudah redha kepada anaknya, barulah Allah redha kepada Alqamah. Dan nanti Allah permudahkan Alqamah mengucapkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Mengetahui ancaman yang sangat dahsyat itu, ibu Alqamah berasa sungguh takut. Serta-merta dia meredhakan dan memaafkan segala kesalahan anaknya. Tidak lama selepas itu Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Sahabat, Alqamah telah pun meninggal dunia. Alqamah sempat mengucapkan dua kalimah syahadah dengan lancar dan petah.

Leave a comment

All fields marked (*) are required