Asma’ Binti Abu Bakar

thCAN6Q2HZDalam sejarah perjuangan Nabi Muhammad s.aw ada seorang Sahabat daripada kalangan muslimah yang digelar “Dzatin Nithaqain”, ertinya “yang memiliki dua belahan tali pinggang.” Sahabat muslimah itu bernama Asma’ binti Abu bakar, kakak kandung Ummul Mukminin Sayiditina Aisyah. Nabi menghargai kesungguhan dan keberanian Asma’, lalu diberi gelar yang istimewa itu.

Apakah yang dimaksudkan “yang memiliki dua belahan tali pinggang”? ia berkaitan denga peristiwa Hijrah Nabi s.a.w. Sebelum meninggalkan Makkah, Nabi bersama Sayidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur terlebih dahulu. Setelah keadaan agak aman, barulah baginda meneruskan hijrah ke Madinah.

Tiga hari tiga malam Nabi Muhammad s.a.w dan Sayidina Abu Bakar r.a bersembunyi di dalam Gua Thur. Pada malam ketiga itulah Asma’ r.ha. menghadapi sedikit masalah untuk membawa makanan yang hendak dihantar kepada ayahnya. Lalu dikoyak (belah) tali kain pengikat pinggangnya – satu untuk mengikat bungkusan makanan dan satu lagi dipakai olehnya.

Keadaan di Makkah pada waktu itu sedang sangat genting selepas Nabi s.a.w berjaya melepaskan diri daripada kepungan musiuh. Namun Asma’ tetap berani mengharunginya dengan melakukan tugas yang membahayakan nyawanya. Nabi sangat menghargai pengorbanan ikhlas anak sahabat karibnya itu.

Seperti suaminya, Zubair bin al-Awwam, Asma’ binti Abu Bakar r.ha termasuk dalam kelompok mereka yang awal memeluk Islam.

Asma’ adalah ibu yang pertama melahirkan anak selepas hijrah. Asma’ berhijrah dalam keadaan dirinya sarat mengandung. Dia melahirkan anaknya sebaik sahaja sampai di Kuba’. Bayi itu diberi nama Abdullah – Abdullah bin Zubair.

Asma’ terkenal dengan sifat pemurahnya. Sangat tekun beribadah. Dia seorang yang berusia lanjut. Sejarah menyebut Asma’ binti Abu Bakar mengakhiri hayatnya dalam usia mencecah 100 tahun. Dia meninggal dunia tidak lama selepas kematian anaknya Abdullah yang dibunuh oleh golongan pengkhianat.

Leave a comment

All fields marked (*) are required