Bagaimana Mengubat Hati Yang Sudah Mati?

Allah SWT telah mengurniakan dalam jasad setiap manusia sebuah organ yang dinamakan hati. Organ inilah yang terlalu penting kerana jika ia dipelihara dengan sesungguhnya mengikut landasan iman ia akan hidup manakala jika sebaliknya ia akan menjadi mati walaupun batang tubuh manusia itu masih bernyawa.

Sebagaimana sabda Rasullullah SAW yang maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika ia baik maka baiklah seluruh anggota dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam perjalanan hidup kita setiap saat dan waktu pernahkah kita terfikir untuk menyemak sama ada hati kita sudah diambang kematian?

Antara tanda-tanda bahawa hati kita sudah mati ialah apabila ia tidak merasa sedih dan menyesal apabila melihat atau melakukan maksiat. Contohnya, apabila azan berkumandang menyeru kita menunaikan solat hati kita tidak terdetik langsung untuk menunaikan ibadah itu malahan perasaan terasa rimas mendengar laungan yang suci itu. Begitu juga tatkala melihat anak-anak perempuan kita yang sudah akil baligh tidak kisah mendedahkan aurat masing-masing, tidak terbit di hati kita untuk menasihati mereka supaya menutup aurat, malahan kita memberikan mereka wang untuk membeli pakaian-pakaian yang singkat dan sendat itu.

Berbeza dengan hati yang hidup, ia sentiasa merasa gundah dan resah mengenang andainya diri ada melakukan apa-apa kejahatan yang bersalahan dengan perintah Allah SWT, walaupun sekecil zarah.

Apakah ubat untuk hati yang mati?

1. Mentarbiah hati supaya mencintai Allah SWT dengan sedalam-dalamnya.

2. Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat Al Quran.

3. Mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan amalan-amalan sunat.

4. Khusyuk dalam solat.

5. Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah SWT.

6. Melakukan kebaikan dengan ikhlas kepada Allah SWT dan mengharapkan keredaan-Nya.

7. Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

8. Beriktikad dengan akidah yang betul.

9. Sentiasa melakukan muhasabah diri.

10. Memperuntukkan masa bagi Allah SWT menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

11. Memperbanyakkan qiamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

12. Tunduk dan khusyuk kepada Allah SWT dalam segenap tindakan dan perbuatan.

13. Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

14. Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.

15. Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

16. Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah SWT atas segala nikmat yang dikurniakan.

17. Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

18. Suka bersahabat dan duduk dengan orang soleh yang boleh dijadikan teladan.

crack-heart-29371869 Dengan mempraktikkan panduan di atas dari semasa ke semasa semoga kita termasuk di kalangan insan-insan yang sentiasa hidup hatinya. Berusahalah ke arah itu kerana Allah SWT suka kepada hamba-hambanya yang berusaha menuju kebaikan. InsyaAllah.

Kredit maklumat: Majalah At-Takwa Isu 4

 

Leave a comment

All fields marked (*) are required