Bila Anak Dapat Buku Koyak Semangatkah Nak Belajar?

023

Mula sahaja hari persekolahan  baru guru-guru pastinya sibuk untuk mengagih-agihkan buku teks kepada para murid. Semenjak beberapa tahun belakangan ini beban membeli buku-buku ini terasa ringan sedikit sebab semuanya diberi percuma oleh kerajaan. Tentulah ibu bapa dan anak-anak seronok. Tetapi bila balik ke rumah lain pula ceritanya.

Buku yang diterima itu yang diikat-ikat satu ‘bundle’ oleh murid-murid yang meminjam sebelum ini tidak semuanya dalam keadaan elok. Tak tahu sama ada pihak sekolah telah menyemak status buku-buku itu, sama ada masih boleh dipakai atau disisihkan sahaja. Tetapi memang ada yang sudah koyak rabak dari cover ke isi dalam. Banyak yang buruk-buruk dan penuh dengan contengan sebab sudah diulang pakai lebih daripada lima tahun.

Kita boleh mengetahuinya pada ruang nama murid-murid yang telah tertulis nama masing-masing setiap tahun. Dalam gembira ada sedih sebab memikirkan awal-awal semangat anak-anak hendak belajar sudah terkantoi sedikit sebanyak. Malu pun ada nak membawa buku yang sudah lusuh selusuhnya itu. Alternatifnya, bagi ibu bapa yang berkemampuan mereka akan membeli buku baru sendiri. Tetapi bagi mereka yang kurang berkemampuan keadaan ini tidak dapat diatasi mereka.

Tidak pasti sama ada pihak Kementerian Pendidikan menyedari keadaan ini dan bersedia untuk menyumbang buku yang baru. Ibu bapa bukan tidak menghargai pemberian tetapi jika boleh memberi ‘hadiah’ berilah yang boleh menggembirakan orang yang menerimanya.

Leave a comment

All fields marked (*) are required