Hamba Yang Bersyukur

Kelebihan Solat Dhuha“Wahai Aisyah, tinggalkanlah aku bersendirian malam ini. Agar dapat aku beribadah kepada Tuhanku dengan sepuas hatiku,” kata Rasulullah s.a.w kepada Sayidatina Aisyah r.ha.

“Silakanlah, wahai Rasulullah,” Jawab Ummul Mukminin Aisyah.

“Sebenarnya aku sangat suka berada di sisimu. Dan aku juga suka melakukan perkara yang dapat menggembirakan hatimu,” kata Rasulullah lagi.

Kemudian Rasulullah s.a.w pun bangkit daripada perbaringan. Selepas menyucikan diri dan berwuduk, baginda mulalah mengerjakan solat sunat. Lama sekali Rasulullah bersolat. Barangkali kerana keasyikan serta kehibaan hati yang tidak dapat ditahan, baginda teresak-esak menangis.

Dalam duduk beristighfar dan bermunajat selepas solat pun tangisan Rasulullah masih belum reda. Air matanya membasahi janggut dan menitis ke lantai. Alangkah hebatnya kecintaan dan rindu Rasulullah kepada Allah s.w.t. Setiap saat tidak pernah terlalai daripada mengingati Allah.

Hampir menjelang Subuh, datang Sayidina Bilal bersiap sedia untuk melaungkan azan. Melihat ada bekas tangisan di wajah Rasul, Bilal berasa sebak. Pasti itu bekas-bekas tangisan munajat baginda kepada Tuhannya. Menghampiri Rasulullah Bilal pun menyapa, “Wahai Rasulullah ! Tuan menangiskah?”

Tidak menunggu Rasul menjawab, Bilal menyambung lagi, “Sedangkan Allah s.w.t telahpun mengampuni kesalahan tuan yang awal dan akhir. Tuan tidak ada dosa.”

“Wahai Bilal!” ucap Rasulullah dengan lunak. “Apakah tidak boleh aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur?”

Jika Rasulullah yang tiada dosa pun selalu bersyukur dan selalu beristighfar serta bermunajat kepada Allah, bagaimana pula kita yang selalu berbuat dosa saban hari ini? Tentulah kita perlu menggandakan rasa syukur dan memohon keampunan kepada Allah s.w.t.

Leave a comment

All fields marked (*) are required