Imam Al-Ghazali : Ilmunya Dirompak

Abu Hamid bin Muhammad al-Ghazali ath-Thusi asy-Syafi’i dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di bandar Thus, Khurasan, Iran. Digelar Imam Al-Ghazali kerana ayahnya bekerja sebagai pemintal bulu kambing dan kampung kelahirannya yang bernama Ghazalah.

Ayahnya yang warak bercita-cita tinggi mahukan Abu Hamid membesar menjadi orang alim dan soleh. Lantaran itu, Imam Ghazali dididik dan diasuh dengan akhlak mulia.

Kerana miskin, Imam Ghazali mendapat pendidikan percuma daripada beberapa orang guru hingga beliau mahir bahasa Arab dan Parsi.

Imam Ghazali banyak mengembara untuk menimba ilmu. Imam Ghazali mempunyai daya ingatan yang kuat dan sangat bijak sehingga digelar ‘Hujjatul Islam’. Disebabkan ketinggian ilmu dan karyanya yang bermutu tinggi, Imam Ghazali sangat dihormati dan terkenal hingga ke benua Eropah sebagai ulama besar Islam. Di Eropah, Imam Ghazali digelar Al-Gazel.

Bertembung Dengan Perompak

Dalam satu perjalanan, Imam Ghazali bertembung dengan sekumpulan perompak. Beg Imam Ghazali dirampasnya. Apabila mereka pergi, Imam Ghazali menegekori.

“Jangan kamu ekori kami lagi. Kalau tidak, kamu akan dibunuh,” kata seorang perompak.

“Saya mahukan beg saya,” kata Imam Ghazali.

“Hmm..apa di dalam beg kamu ni? soal perompak.

“Tiada apa-apa. Hanya catatan-catatan ilmu yang saya pelajari. Dengan Nama Allah, tolonglah pulangkan kertas-kertas catatan saya itu. Ia tidak berguna kepada kamu” rayu Imam Ghazali. “Jauh saya mengembara untuk mendapatkannya.”

“Ha… Ha… nampaknya kamu tidak akan berilmu lagi apabila kami ambil kertas kamu ini,” kata perompak. Namun, berkat doa dan kesolehan Imam Ghazali, kertas-kertas itu dipulangkan kepada Imam Ghazali. Setelah kembali ke Thus, Imam Ghazali mula menghafal semua catatannya.

Minta Kain Kafan

Imam Ghazali menetap di Thus hingga meninggal dunia pada 14 Jamadilakhir 505 Hijrah ( 19 Disember 1111 Masihi). Pada saat hendak meninggal dunia, Imam Ghazali sempat bersolat subuh. Kemudian dia meminta daripada saudaranya, Ahmad, “Ambilkan kepadaku kain kafanku…” lalu diciumnya kain itu dan diletakkan pada matanya.

Imam Ghazali berkata lagi, “Kami mendengar dan taat dengan amat bersedia untuk hadir ke hadrat Allah, Raja Yang Maha Berkuasa…” Setelah itu beliau menghadap kiblat dan melunjurkan kakinya dan meninggal dunia sebelum matahari terbit.

Pergilah seorang ulama terbilang meninggalkan banyak karya ilmu berharga. Antara karyanya yang paling agung ialah kitab Ihya’ Ulumuddin yang dijadikan sumber rujukan hinggak ke hari ini.

 

Leave a comment

All fields marked (*) are required