Umi Biaya RM30,000 Sebulan Bela Anak Yatim

20120101_094138 20120101_094031 20120101_095053

Teks/Foto YATI RAHIM

Bergenang air mata tatkala menatap wajah-wajah jernih yang menyambut kami di pintu pagar kediaman. Kisah pengorbanan seorang wanita bernama Umi yang sanggup membela anak yatim dalam jumlah yang ramai menyentuh hati penulis.  Rumah sewaan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al-Nasuha, yang terletak di  Gombak, itu menempatkan  75 orang penghuni yang terdiri daripada kanak-kanak seawal usia dua tahun sehingga 19 tahun.

Merenung ke dalam anak mata ‘anak-anak syurga’ ini  bagaikan dapat dibaca isi hati mereka. “Dakaplah kami,bermain-mainlah bersama kami kerana kami rindu akan dakapan seorang ibu, seorang ayah.”

Jelas sewaktu penulis menjenguk anak-anak  tersebut bersama beberapa orang wanita NGO Gombak baru-baru ini, si kecil ternyata teruja meminta ditiupkan belon untuk mereka bermain bersama ibu-ibu ‘sesaat’ itu.”Mereka ini terdiri daripada 45 orang anak yatim, 18 orang yatim piatu manakala selebihnya anak-anak miskin yang ibu bapa mereka ada masalah,” kata Umi Fatmah Husin pengendali pusat tersebut.

Wanita sekitar usia 54 tahun dan memiliki seraut wajah keibuan itu menarik perhatian penulis. Terbayang bagaimana dia mampu menguruskan sebegitu ramai kanak-kanak yang pastinya memiliki 1001 macam karenah. “Saya sudah ada pengalaman 10 tahun menguruskan tempat sebegini. Pusat ini pun sudah enam tahun saya kendalikan bersama anak-anak.

Tak sampai hati nak tengok anak-anak bangsa kita terbiar tanpa jagaan. Lagipun anak-anak saya sendiri yang seramai lima orang itu pun anak yatim. Mereka masih kecil, sewaktu suami saya meninggal,” ujar bekas Stenographer ini.

Wanita yang gigih mengendalikan pusat itu secara persendirian bersama anak-anak yang sudah dewasa mengakui kos membiayai pusat itu mencecah lebih RM30,000 sebulan. Ia satu jumlah yang banyak namun Umi mengakui agak sukar mendapatkan bantuan daripada pihak-pihak tertentu. “Selain sumber kewangan sekeluarga kami bergantung kepada sumbangan peribadi sama ada daripada orang awam  mahupun dalam kumpulan,” katanya yang mengakui pernah menerima sumbangan peribadi daripada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk rumah tersebut.

“Saya terharu teringat cara Dr Mahathir nak menolong. Hanya di atas secebis kertas (sebesar handphone) beliau mencoretkan kata-kata, “Umi ini sumbangan peribadi saya. Umi jagalah anak-anak yatim ini baik-baik”. Umi berharap lebih banyak pihak bermurah hati untuk membantunya demi kelangsungan hidup anak-anak yatim tersebut.

Di sebalik cabaran yang ditempuhi Umi tidak mahu berputus asa dalam memperjuangkan nasib anak-anak itu yang seharusnya terbela. “Keinginan saya ialah untuk memiliki pusat jagaan anak-anak yatim milik sendiri yang sempurna. Jika saya sudah tiada tempat itu juga boleh dijadikan pusat pengajian agama termasuk belajar mengaji suatu masa nanti.”

Ayuh, dermawan sekalian marilah membantu Umi untuk meringankan beban tanggungannya. Sila berhubung dengan rumah Al Nasuha di talian: 017-9354323/017-2811169 

 

 

 

 

Leave a comment

All fields marked (*) are required