Legenda Mahsuri

langkawi-mahsuriMahsuri binti Pandak Maya merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi. Beliau dilahirkan oleh pasangan Pandak Maya dan Mak Andam pada penghujung kurun ke 18 Masihi di Kampung Ulu Melaka, Langkawi. Mahsuri turut digelar sebagai Puteri Mahsuri dan dengan jolokan Puteri Langkawi. Kehidupan dan sejarah Mahsuri memang terkenal dengan legenda dan kisah rakyatnya.

Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, kakak iparnya sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh Dato Pekermajaya abang iparnya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat di alang rumahnya

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ia seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

 Sumpahan Mahsuri

Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Mat Arus keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.

 

Penutup Sumpahan DSC02557

Sebelum 1980-an, Langkawi memang tidak makmur hinggakan orang mengatakan yang kerbau lebih banyak berbanding manusia di sana. Ketika Tunku Abdul Rahman masih menjadi pegawai daerah, Tunku sentiasa melawat Langkawi tetapi tiada siapa yang tahu di mana tempat pengkebumian Mahsuri. Maka, Tunku mencari sehingga menemui sebuah kubur yang tersembunyi lalu dibinakan sebuah makam, yang dikenali sebagai Makam Mahsuri.

Menjelang 1980-an, Langkawi menjadi lebih makmur (satu daripadanya disebabkan kedatangan pekerja untuk membina makam Mahsuri). Ada yang menyatakan kemakmuran itu disebabkan lahirnya keturunan ketujuh Mahsuri (ada yang mengatakan kelapan) menamatkan segala sumpahan Mahsuri ke atas pulau Langkawi. Keturunan ketujuh Mahsuri iaitu Sirintra Yayee atau Nong May atau nama Melayunya, Wan Aishah Wan Nawawi menetap di Kampung Kemala, Phuket, Thailand ketika pertama kali dijejaki.

Kebetulan pula ketika itu, Langkawi menjadi pusat pelancongan dan jualan bebas cukai lalu menarik lebih ramai pengunjung ke pulau itu. Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir turut membantu mempromosikan Langkawi dengan menambahkan infrastruktur dan menjadikannya pusat pertunjukan seperti LIMA.

 

 

 

 

 

 

 

Leave a comment

All fields marked (*) are required