Qaiser Darussalam Kedai Buku & Akademi Islam Untuk Warga Kota

005034Ruang kedai buku yang tersusun rapi menjadikannya selesa.Meneliti persekitaran kawasan Metropolitan Square, Bandar Damansara Perdana, Petaling Jaya, kita dapat meramal bagaimana suasana sibuk melatari gaya hidup harian penghuninya.

Lokasi ini dikenali sebagai sebuah pusat perniagaan yang sarat dengan urus niaga, pejabat, membeli belah dan hiburan. Namun di celah-celah kerancakan itu, di situlah terletaknya Qaiser Darussalam, iaitu Kedai Buku islamik dan Akademi Islam milik seorang wanita muda bernama Anita Abu Bakar.

Lembut wajahnya dalam hijab yang sempurna dan moden dalam karekternya yang tersendiri, wanita berwawasan  ini bijak menghalakan kehidupannya dalam kanta muslimah yang diingini hari ini. Visinya sebagai hamba Allah ialah untuk melihat dirinya, anak-anak, keluarga dan orang Islam yang lain dapat menerapkan amalan hidup islamik seawal usia kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa.

“Saya mula mengenali Darussalam, iaitu syarikat penerbitan buku-buku islamik terbesar di Arab Saudi, sewaktu mencari-cari bahan pengajaran agama untuk anak. Selepas itu  tidak ada apa-apa yang berlaku sehinggalah suatu hari wakil syarikat tersebut menghubungi saya untuk bertanyakan sama ada saya berminat untuk membuat sesuatu dengan mereka. Bermula daripada detik itu saya bersetuju memasarkan buku-buku keluaran syarikat itu sebagai pengedar tunggalnya,” kata Anita tatkala ditanya bagaimana beliau mula memulakan kedai buku Qaiser.

Sis Ummah yang hadir semasa pelancaran Qaiser Darussalam, oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hajah Nancy Shukri, baru-baru ini sempat berlegar-legar di segenap sudut ruang kedai yang berkeluasan sederhana itu dan mendapati bukan sahaja buku malahan banyak kitab-kitab dan peralatan pengajaran untuk kanak-kanak majoritinya dalam bahasa Inggeris boleh diperoleh di situ.

Suatu kelainan yang dibawa di sini, ialah Qaiser memberi peluang orang ramai melaksanakan tanggungjawab kebajikan mereka menerusi pembelian buku, di mana sebahagian pendapatan akan disalurkan kepada rumah kebajikan tempatan yang telah dikenal pasti dan membantu mereka yang tidak bernasib baik di negara Islam yang bergolak terutama Syria dan Palestin.

Qaiser juga membuka Akademi Islam untuk memberi pengajaran daripada peringkat asas mengaji dan Fardu Ain kepada kanak-kanak dan golongan dewasa. Anita berkata,”Kami ingin meluaskan akademi ini bukan sahaja kepada orang Islam malahan untuk bukan Islam yang mahu belajar mengenai keindahan agama kita. Kami juga berharap dapat mencakupi kanak-kanak kurang upaya termasuk down syndrome, atutisme; supaya mereka tidak dipinggirkan.”

Bagi warga kota yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai kedai buku dan akademi ini bolehlah melayari www.qaiserdarussalam.com.my atau fb qaiser darussalam publications.

 

Leave a comment

All fields marked (*) are required