Sejarah Sekolah Henry Gurney

thCAS5AALZ

Nama sekolah Henry Gurney diambil sempena pembukaaan rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya iaitu Sir Henry Gurney. Perasmian sekolah itu juga telah dibuat pada 19 Julai 1950 di Telok Mas, Melaka. Sekolah ini terletak di tepi pantai Selat Melaka dengan keluasan sebesar 38 ekar dan jaraknya empat kilometer dari Bandar Melaka. Ia bagi menempatkan golongan remaja yang telah melakukan kesalahan juvana yang berumur daripada 14 tahun hingga 21 tahun dan diperintah oleh Mahkamah Juvana supaya ditahan serta menjalani pemulihan.

 

henry-gurney-melaka-i14

Penubuhan sekolah ini bermula dengan penggubalan satu ordinan pada tahun 1947 yang kemudiannya membawa pada pembentukan Mahkamah Juvana. Sebelum sekolah Henry Gurney pertama dibina di Melaka, sebahagian penjara Muar dijadikan Sekolah Akhlak Tinggi yang pertama di Tanah melayu bagi menempatkan golongan remaja yang diperintahkan oleh Mahkamah Juvana supaya ditahan untuk pemulihan. Selain di Melaka, Sekolah Henry Gurney juga terdapat di Kota Kinabalu dan Keningau, Sabah, Puncak Borneo, Sarawak dan Batu Gajah, Perak.

Sekolah Henry Gurney Wanita

Sekolah Henry Gurney Wanita Batu Gajah dibina di kawasan seluas 34,736 kaki persegi. Sekolah ini terletak dalam pentadbiran kawasan Batu Gajah, Mukim Sungai Terap, Daerah Kinta yang lebih dikenali sebagai Changkat. Jarak jauhnya lebih kurang 3 km dari Pekan Batu Gajah, Perak. Kawasan sekolah ini dikelilingi oleh bangunan-bangunan kerajaan yang lain seperti Hospital Daerah, Pejabat Tanah, Balai Polis, Pejabat Daerah dan Mahkamah. Pada awal penubuhannya , terdapat enam buah sekolah akhlak di bawah Jabatan Penjara iaitu i) Sekolah Henry Gurney, Teluk Mas, Melaka, ii) Sekolah Henry Gurney ke II , Banda Hilir, Melaka iii) Dusun Datok Murad, Melaka, iv) Sekolah Henry Gurney (Wanita), Batu Gajah, Perak, dan v) Sekolah Henry Gurney , Kepayan, Sabah dan vi) Sekolah Henry Gurney, Pusat Latihan Pegawai Penjara, Taiping, Perak.

Sekolah Henry Gurney Wanita , Batu Gajah adalah institusi akhlak untuk remaja wanita. Ianya terletak bersebelahan dengan Pusat Pemulihan Akhlak, Batu Gajah, Perak yang dahulunya adalah sebuah penjara wanita yang dikenali sebagai Women Central Prison. Women Central Prison ini mula diwujudkan apabila Kinta Prison yang menempatkan banduan lelaki telah mula menerima banduanita pada tahun 1951. Kebanyakan banduanita ini dikenal pasti sebagai Penjenayah Politik yang terdiri daripada agen-agen komunis bagi kesalahan di bawah “Emergancy Regulations“. Di samping itu, terdapat juga banduanita yang ditahan di bawah “Penal Code“ seperti memiliki dadah, penipuan, peras ugut dan lain-lain. Lingkungan tahun 1951 hingga 1958, terdapat kira-kira 100 orang banduanita yang ditahan di Central Women Prison yang kebanyakkannya di bawah hukuman singkat.

Pada tahun 1954, ada antara pesalah-pesalah wanita yang ditahan adalah pesalah wanita yang di bawah umur 21 tahun. Mereka diasingkan daripada pesalah lain di kawasan bersebelahan Women Central Prison iaitu, bekas rumah Supritendent. Sejak itu, tahanan wanita di bawah umur akan dihantar ke Sekolah Henry Gurney Wanita, Batu Gajah.

Leave a comment

All fields marked (*) are required