Anak Bersolat Kebaikannya Kepada Ibu Bapa

i-love-hazrat-Muhammad-S_A_WNabi Muhammad s.a.w gemar mengadakan majlis ilmu. Di dalam majlis itu, banyaklah ilmu pengetahuan serta tunjuk ajar tentang agama Islam yang Nabi sampaikan. Tidak hanya menyampaikan ilmu dan nasihat, Nabi s.a.w turut memberikan kefahaman tentang masalah-masalah dalam agama Islam.

Dalam satu majlis ilmu, baginda memberitahu tentang bakti anak-anak terhadap kedua ibu bapa. Betapa besarnya jasa serta pengorbanan ibu dan bapa. Sebab itu, jangan sekali-kali menyakiti hati mereka atau menyusahkan mereka. Berikan khidmat yang terbaik kepada mereka.

Selesai majlis, sebelum bersurai Nabi Muhammad s.a.w memberi peluang kepada hadirin jika ada yang hendak bertanyakan masalah. Mungkin ada yang kurang faham tentang apa yang telah baginda sampaikan tadi. Atau bertanyakan perkara lain yang tidak bersangkutan dengan majlis itu.

Seorang sahabat seraya bertanya, “Wahai Rasulullah, aku telah berbuat baik kepada kedua ibu bapaku mengikut kemampuan yang dapat aku lakukan. Aku ingin tahu, apakah yang aku boleh buat sesudah mereka tidak ada lagi. Mudah mudahan Allah sentiasa mencucurkan rahmat-Nya ke atas mereka.”

Nabi s.a.w berasa senang sekali mendengar soalan begitu. Sambil membetulkan duduk, baginda menjawab, “Ya. Kamu boleh solat untuk kedua ibu-bapamu dan meminta keampunan kepada Allah untuk mereka, menunaikan wasiat mereka dan selalulah menghubungkan silaturrahim dengan orang-orang yang dahulunya mereka lakukan. Dan memuliakan kawan-kawan mereka.”

“Solat untuk ibu-bapa? Macam mana tu, wahai Rasulullah?” terdengar lagi suara bertanya.

Nabi pun memahamkan mereka – solat untuk ibu bapa yang sudah meninggal dunia maksudnya mendoakan mereka semoga Allah memberikan rahmat, ampunan dan tempat yang mulia kepada mereka di alam barzakh dan di akhirat kelak.

Pesanan Nabi itu bertepatan sekali dengan sepotong hadis baginda:

“Apabila seorang manusia telah meninggal dunia, maka putuslah (terhentilah) segala amalnya, kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya dan anak yang soleh yang selalu mendoakannya.”

(Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a)

Demikianlah ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Menyuruh kita berbuat baik dan berbakti kepada ibu-bapa, walaupun setelah mereka meninggal dunia. Lebih-lebih lagilah kalau kedua-dua mereka masih hidup. Nabi sendiri pun menziarahi makam ibu dan ayahnya dan berdoa untuk mereka.

Leave a comment

All fields marked (*) are required