World Muslimah 2013.

Pertandingan Ratu Cantik World Muslimah adalah merupakan program kebajikan global. Ia adalah salah satu program yang dijalankan oleh World Muslimah (WM) Foundation. Dana yang diperolehi adalah untuk membantu masyarakat dunia yang melarat dalam pelbagai masalah seperti kebuluran, konflik akibat peperangan, bencana alam dan sebagainya. Badan ini juga menggesa semua wanita seluruh dunia bersama-sama berganding bahu mengembleng tenaga menyelamatkan kanak-kanak agar mereka dapat menikmati hidup lebih berkualiti.
Bercerita tentang pertandingan yang telah diadakan di Balai Sarbini Plaza Semanggi, Jakarta pada 18 September lepas, para peserta yang mengambil bahagian perlu mengikuti dua seminar iaitu ‘Soleha & Smart’ dan ‘Healty, Wealthy and Beauty’.
Bagi seminar pertama, para peserta akan diuji minda berkaitan pemahaman tentang dan hafalan Al-Quran, ditanya tentang cabaran-cabaran yang diterima Islam, soal wanita dan pembangunan masa hadapan, bagaimana menjadi isteri dan ibu terbaik di dalam Islam dan sebagainya. Manakala bagi seminar kedua pula, para peserta akan didedahkan pada seni fotografi fesyen, cara berjalan atau diberi nama ‘fun walk’, pengucapan awam, skill pembentangan kertas kerja, fesyen, kecantikan, stail, model fesyen dan juga penampilan atas pentas.
Tidak ketinggalan, para peserta juga dimestikan membaca Al-Quran, tidak mengenepikan solat-solat wajib dan sunat di samping menjana ilmu berkaitan Islam. Seperti ramai tahu, juara pertandingan tahun ini adalah si hitam manis Obabiyi Aishah Ajibola, 21, asal dari Lagos, Nigeria. Aishah menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM7 ribu, pakej pelancongan ke India, pakej mengerjakan umrah dan beberapa hadiah sampingan lain.
Selain Nigeria, World Muslimah 2013 turut membariskan para peserta dari Indonesia, Iran, Bangladesh dan Brunei Darussalam. Indonesia selaku tuan rumah diwakili seramai 14 orang gadis-gadis cantik serata Indonesia termasuklah dari Pulau Dewata, Bali.
Malaysia pula diwakili oleh si cantik manis Nurul Husna Zainal Abidin asal Kuala Kangsar.
World Muslimah 2013 turut memberi peluang para pelayar internet mengundi peserta manakah paling memberi inspirasi kepada mereka menerusi rakaman video para peserta yang boleh ditonton secara atas talian. Untuk tujuan ini, peserta Aisha Aideshina juga dari Nigeria mendapat undian terbanyak iaitu sebanyak 298 undian. Acara tahunan kali ketiga ini turut disokong oleh institusi kewangan, CIMB Niaga Syariah dan jenama minuman, Luwak White Koffie.

Leave a comment

All fields marked (*) are required